Friday 5 April 2013

Posted by Unknown |

SOALAN 2:
HURAIKAN EMPAT JENIS PENILAIAN BAHASA YANG DILAKSANAKAN DI SEKOLAH

1.0      Pengenalan

Terdapat pelbagai jenis penilaian bahasa yang boleh digunakan oleh guru di sekolah. Ujian-ujian ini dilaksanakan untuk menentukan kemajuan murid-murid dari semasa ke semasa sepanjang proses pembelajaran mereka. Berikut adalah merupakan jenis-jenis penilaian bahasa:

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.1         UJIAN SUMATIF

Ujian sumatif digunakan bagi menentukan tahap penguasaan murid dalam keseluruhan pembelajarannya.Pengujian ini merupakan bahan atau alat ujian yang dibina untuk menguji pencapaian murid dalam beberapa kemahiran bahasa yang telah diajar secara dalam panjang.Contohnyaselepas satu-satu semester mahupun selepas satu tahun.Antara kemahiran bahasa yang diuji ialah kemahiran lisan, bacaan dan penulisan.

Ujian sumatif biasanya dilakukan pada akhir pembelajaran.Contoh ujian sumatif ialah ujian akhir semester.Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir pembelajaran, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan murid daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran guru dan pembelajaran murid.Selain itu juga, ujian sumatif dibina bertujuan untuk mengesan secara menyeluruh taraf pencapaian murid di akhir sesuatu pembelajaran.

Matlamat utama penilaian jenis ini ialah untuk memberi markah atau gred kepada seseorang murid supaya dapat membandingkannya dengan markah murid lain dalam kumpulannya.Ujian sumatif dijalankan juga untuk tujuan membuat proses persijilan. Ini melibatkan ujian-ujian seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM. Jenis pengujian ini akan dijalankan secara formal pada waktu yang telah ditetapkan. 

Berikut adalah merupakan ringkasan mengenai jenis penilaian bahasa yang melibatkan ujian sumatif:


1.1         UJIAN FORMATIF

Ujian jenis ini dilaksanakan bertujuan untuk menentukan kemajuan murid-murid dari semasa ke semasa sepanjang pembelajaran mereka.Ujian formatif adalah bahan atau alat ujian yang dibina oleh guru untuk menguji sesuatu kemahiran atau sub-kemahiran bahasa yang diajar. Tujuan utama perlaksanaan ujian formatif ini adalah untuk memperbaiki mutu proses pengajaran dan pembelajaran guru. Melalui ujian ini, guru akan dapat mengesan kelemahan dalam pembelajaran murid dengan serta-merta. Biasanya pengujian jenis ini dilaksanakan dalam bentuk pemerhatian atau dalam siri ujian yang pendek.

Dapatan daripada ujian formatif ini akan dapat memberikan maklum balas kepada guru. Dengan itu, guru akan dapat membaiki mutu pengajarannya serta memberi tumpuan yang lebih pada tajuk-tajuk yang menimbulkan kesulitan kepada murid-muridnya. Oleh itu, ujian formatif adalah penting untuk menentukan sesuatu kursus atau program yang dilaksanakan agar menepati matlamat yang telah ditetapkan pada awalnya.Contoh ujian formatif adalah ujian yang diberikan oleh guru di dalam bilik darjah seperti ujian ringkas, kuiz dan kerja rumah untuk mengetahui tahap kebolehan murid.

Ujian formatif boleh dipastikan keberkesanannya apabila dilaksanakan mengikut langkah-langkah berikut:

1.    Menentukan tajuk pengajaran.
2.    Menentukan aspek dan tahap penguasaan.
3.    Menghubungkan elemen dan tajuk
4.    Membina soalan ujian.
5.    Mencadangkan tindakan susulan.

Berikut adalah merupakan ringkasan mengenai perlaksanaan ujian sumatif:



1.1         UJIAN PENCAPAIAN

Ujian pencapaian juga disebut sebagai ujian sumatif.Pengujian jenis ini adalah sejenis ujian yang diberikan setelah tamat sesuatu kursus.Tujuannya dilaksanakan adalah untuk menilai hasil pembelajaran sesuatu kursus yang dilaksanakan.Dari segi pengajaran dan pembelajaran, ujian pencapaian dilaksanakan sebagai tujuan untuk menilai kemajuan murid dalam pelajarannya selain mengukur pencapaian murid secara keseluruhannya.

Ujian pencapaian dibina untuk menentukan setakat manakah murid telah menguasai kemahiran, bahan atau isi pelajaran yang telah diajar kepada mereka.Soalan-soalan yang dikemukan hendaklah berkaitan dengan isi pelajaran yang telah diajar sahaja.Ujian pencapaian juga boleh dijadikan pada akhir kursus ataupun setelah tamatnya sesuatu unit pembelajaran.Ujian ini juga boleh dilaksanakan secara ujian penggal atau semester persekolahan.

Berbeza dengan ujian kemajuan, ujian ini lebih bersifat menyeluruh dan pencapaiannya adalah lebih rasmi.Contohnya ujian UPSR, PMR dan juga SPM.Selain itu, ujian ini juga dijadikan sebagai penentu untuk penempatan jenis sekolah dan jurusan murid selepas keputusan ujian diperolehi.Pembentukan ujian pencapaian ini adalah berasaskan kepada sukatan pelajaran rasmi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.Dalam peperiksaan umu seperti, bahan-bahan yang dibentuk biasanya dipra-uji dahulu.

Tiap-tiap butiran peperiksaan untuk ujian pencapaian  dianalisis melalui proses analisis butiran. Butiran yang sesuai dikekalkan dan perkara yang dianggap lemah dan tidak bersesuaian akan dibuang, diubah atau diperbaiki berasaskan analisis tersebut. Kadang-kadang, ujian pencapaian digunakan juga sebagai ujian kemajuan sekiranya tujuannya ialah khas untuk melihat kemajuan murid di dalam pelajarannya.
1.2    
          UJIAN KEMAJUAN

Ujian kemajuan digunakan di dalam bilik darjah dan hanya dinilai oleh guru kelas.Ujian kemajuan dilaksanakan untuk tujuan mengukur dan menilai setakat mana murid-murid telah menguasai bahan atau perkara-perkara yang diajar tentang sesuatu tajuk tertentu sahaja.Pengujian jenis kemajuan ini kerap digunakan di dalam bilik darjah sahaja.Tiap-tiap ujian kemajuan yang digunakan di dalam bilik darjah adalah khusus bagi sesuatu bilik darjah dan hanya sesuai dinilai oleh guru darjah itu sendiri sahaja.Hal ini demikian kerana hanya guru tersebut sahajalah yang berpengetahuan mengenai keperluan ujian yang telah direka bentuk oleh guru itu sendiri.

Tujuan perlaksanaan ujian kemajuan ini adalah berasaskan kepada objektif pengajaran, program pembelajaran yang telah diikuti oleh murid serta pengetahuan yang ingin diuji oleh guru mata pelajaran kelas tersebut.Adalah tidak wajar untuk menggunakan ujian umum seperti UPSR untuk memenuhi keperluan sesuatu keadaan yang khusus di dalam bilik darjah.Oleh itu, guru digalakkan untuk membentuk ujiannya sendiri bagi memenuhi matlamat dan objektifnya sendiri.

Ujian kemajuan ini dibina bertujuan untuk mengukur dan menilai setakat manakah murid-murid telah menguasai bahan atau perkara-perkara yang diajar di bawah satu-satu tajuk tertentu.Ujian ini berasaskan kepada rancangan pengajaran yang telah diikuti oleh murid di dalam bilik darjah.Jadi, ujian ini bukan sahaja penting untuk menilai kemajuan murid dalam pelajarannya tetapi juga penting dalam menilai tugas-tugas guru itu sendiri dalam mengajar murid-muridnya.Hasil daripada ujian kemajuan ini membolehkan guru mengetahui dengan lebih jelas lagi tentang kemajuan setiap muridnya dan juga kemajuan darjahnya secara keseluruhan.

Satu ujian kemajuan yanh tinggi mutunya dapat menggerakkan motivasi muridnya kea rah pencapaiannya yang lebih tinggi dengan cara yang lebih positif. Oleh yang demikian, ujian ini merupakan satu teknik pengajaran dan pembelajaran dengan tujuan mengukuhkan pembelajaran dan aspek-aspek tertentu yang telah dipelajari.Biasanya sesuatu ujian kemajuan harus menghasilkan market pencapaian yang tinggi dan ini akan mendorong murid untuk berusaha lebih lagi.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
SOALAN 3
A)       JADUAL SPESIFIKASI UJIAN (JSU) BAHASA MELAYU

Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) adalah jadual yang dibina berasaskan kepada topik pelajaran mengikut aras-aras tertentu berdasarkan ketentuan guru. Jadual ini menghuraikan aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta memberikan panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item ujian. Sebagai golongan professional, seorang guru seharusnya membina soalan yang berkualiti untuk menilai tahap pencapaian murid-murid mereka. Soalan-soalan yang dibina juga mestilah memenuhi aras yang telah ditetapkan bagi memberikan keadilan kepada keseluruhan murid.
JSU adalah merupakan jadual yang perlu dibina oleh guru sebelum menggubal soalan pengujian yang akan digunakan nanti. JSU ini dibina berasaskan kepada tahao-tahap Kognitif Bloom.Penggunaan Kognitif Bloom amat penting bagi setiap guru.Pemahaman tentang tahap kognitif Bloom amat penting khasnya dalam menyediakan item atau soalan dalam peperiksaan ataupun ujian. Sebagai guru, kita seharusnya boleh membezakan aras kesukaran soalan yang dibina sama ada dalam soalan objektif atau subjektif.

Setiap item yang dibina perlu menepati aras kognitif Bloom kerana ianya amat penting untuk memastikan taburan aras kesukaran adalah tepat dan adil untuk setiap murid. Menurut Benjamin S. bloom, aras kognitif boleh dibahagikan kepada 6 tahap iaitu aras pengetahuan, kefahaman, penggunaan, analisis, sintesis dan juga penilaian. Aras kognitif Bloom perlulah dirancang oleh guru berdasarkan kepada Jadual Penentu Ujian (JPU) atau Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) di mana pengagihan item adalah berdasarkan topik dan masanya juga perlu diambil kira.

Pembinaan JSU juga menyenaraikan kepentingannya sebelum pembinaan sesebuah item soalan oleh guru.Antaranya adalah jadual ini dapat mengelak ujian dibina secara sebarangan orang guru. Selain itu, JSU ini juga akan dapat mambantu guru membina item soalan secara terancang dan rapi. Dalam JSU juga, bilangan soalan bagi sesuatu tajuk diberi berdasarkan kepentingan tajuk atau objektif pelajaran. Pembinaan JSU juga akan dapat menjamin kesahan serta kebolehpercayaan item ujian tersebut.

Selain itu, pembinaan JSU ini memberikan kepentingan kepada guru-guru Bahasa Melayu yang lain. Jadual ini membolehkan ujian yang sama dibina oleh orang lain. Selain itu, jadual spesifikasi ujian ini juga akan dapat emnstabilkan taraf dan aras kesukaran ujian dari setahun ke setahun. Guru juga boleh menggunakan jadual ini untuk membuat perbandingan antara satu ujian dengan ujian yang lain.

Jadual spesifikasi ujian ini juga dibina mengikut beberapa langkah.Antaranya, JSU mengandungi maklumat tentang bentuk dan panjangnya sesuatu item ujian yang dibina.Aras kesukaran dan juga kemahiran yang hendak diuji juga jelas ditunjukkan dalam jadual tersebut. JSU yang dirancang dengan baik akan menolong dalam penentuan kesahan dan kebolehpercayaan ujian tersebut. Pembahagian item soalan untuk tiap-tiap unit kandungan mestilah sama dengan penegasan yang telah diberikan dalam pengajaran. Kepentingan aras yang dipilih oleh guru mestilah bersesuaian dengan kebolehan murid-murid yang hendak diuji.

Berikut adalah merupakan contoh Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah untuk menilai kemahiran bahasa mengikut tajuk-tajuk yang diajar:

B)       PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

Kamus Dewan New Oxford Dictionary menjelaskan ‘taksir’ bermaksud assess iaitu mengira atau menghitung banyaknya sesuatu. Taksir juga membawa maksud mengkaji dan meneliti. David Payne dalam bukunya Applied Educational Assessment Edisi Kedua tahun 2003 mendefinisikan bahawa pentaksiran ialah integrasi proses mengumpul maklumat, menginterpretasi maklumat atau memberi nilai kepada maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan interpretasi yang dibuat ke atas maklumat.

Pengukuran ialah proses mendapatkan maklumat dengan cara mengukur menggunakan instrument sebelum ukuran itu dapat dinilai atau diinterpretasikan. Proses pengukuran berakhir dengan maklumat berbentuk kuantitatif seperti markah, peratus markah, persentil (peratusan keduudkan seseorang berbanding kedudukan orang lain), agregat dan pangkat atau band. Ukuran di atas boleh didapati sama dengan instrumen atau tanpa instrumen. Oleh yang demikian, sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang meliputi komponen-komponen seperti PEKA, PAFA,ULBS dan PLBS mempraktikkan sistem tersebut.

Sebelum memulakan pentaksiran Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ini, saya telah meneliti manual yang telah diberikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.Berdasarkan manual tersebut, jelas diterangkan bahawa PBS bermaksud pentaksiran yang dirancang, ditadbir, diskor dan dilapor oleh pihak sekolah. Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah menyediakan instrument merangkumi piawaian, kriteria, panduan dan peraturan yang perlua saya patuhi sepanjang proses perlaksanaan PBS ini. Saya juga perlu mengetahui bahawa tujuan PBS ini dilaksanakan bertujuan untuk membolehkan calon mengukur tahap penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai berbanding kriteria yang telah ditetapkan.

Saya juga memastikan pihak ibu bapa dan juga murid mengetahui tentang perlaksanaan PBS ini.Segala konsep, tujuan dan sistem PBS telah saya jelaskan terlebih dahulu untuk mengelak sebarang kekeliruan daripada pihak penjaga terutamanya. Melalui data yang diperolehi ini juga, saya akan memastikan murid-murid menilai tahap pencapaian dirinya. Ini membolehkan murid-murid saya memperbaiki tahap pencapaian dirinya (assessment for learning).

Pentaksiran PBS ini telah saya laksanakan di sekolah.Antaranya, saya sudah melaksanakan Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS) terhadap murid-murid saya.Saya telah merujuk buku panduan yang telah diberi oleh Kementerian Pelajaran untuk memastikan saya berada di landasan yang betul.Selain itu, saya juga telah berbincang dengan ketua panitia Bahasa Melayu untuk menilai perancangan pengajaran dan pembelajaran saya selain membuat penambahbaikan.
Perlaksanaan PLBS ini telah saya laksanakan mengikut langkah-langkah tertentu.Perancangan P&P telah saya buat sebelum memulakan pentaksiran ini.Perancangan yang dibuat ini perlu saya teliti dengan sebaiknya seperti mana yang dikehendaki oleh LPM dan juga Jabatan Pendidikan Negeri. Satu pelarasan juga telah dibuat oleh pihak sekolah untuk memastikan pentaksiran PBS dilaksanakan dengan cara yang betul dan seragam dengan guru-guru yang lain. Oleh itu, adalah penting untuk saya mematuhi pelarasan tersebut.

Perlaksanaan PLBS saya juga telah dipantau oleh pihak sekolah. Pemantauan ini dilaksanakan sebagai satu proses mendapatkan maklumat dan memastikan program PLBS saya adalah mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Segala penilaian tentang murid-murid yang telah saya buat akan dikumpul dan dimasukkan ke dalam fail sebagai bukti perlaksanaan. Pengesahan telah saya buat sebagai satu proses untuk menilai program pencapaian objektif, P&P. Selain itu, pengesahan ini juga perlu dilaksanakan untuk menilai kekuatan dan kelemahan sesi P&P yang telah saya rancang ini.

Pada pengakhiran pentaksiran ini, saya dikehendaki untuk menyediakan pelaporan mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah saya laksanakan ini. Penyelaras, pihak pemantau dan Jabatan Pendidikan Negeri akan membuat laporan terhadap perlaksanaan PLBS yang telah dilaksanakan untuk tujuan penambahbaikan. Menjadi tanggungjawab saya juga untuk memastikan markah murid-murid saya dimasukkan ke dalam aplikasi LPM. Data-data ini akan diserahkan kepada guru besar untuk disahkan sebelum pihak sekolah mengeluarkan sijil ataupun sijil pencapaian PBS kepada murid-murid.

REFLEKSI

Tugasan BMM 3103 ini telah menekankan kepada pentaksiran Bahasa Melayu sekolah rendah. Sebagai seorang guru Bahasa Melayu, adalah penting kepada saya untuk menghayati dan mendalami kursus ini untuk menjamin sesi pembelajaran yang saya laksanakan pada masa akan datang dapat memberikan pendidikan yang bermakna kepada murid-murid saya. Tugasan ini juga telah dapat membimbing saya untuk mengenal pasti penilaian bahasa yang boleh saya gunakan di dalam bilik darjah untuk menilai kebolehan berbahasa murid-murid saya.

            Penilaian bahasa ini juga berhubungkait dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedang dilaksanakan di sekolah.Jenis-jenis penilaian bahasa ini sangat membantu dalam perlaksanaan pentaksiran PBS ini.Tugasan ini telah banyak membantu saya dalam memahami aspek-aspek dalam penyediaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU).Pembinaan JSU ini juga telah banyak mengajar saya sebagai pembina item soalan ujian yang berkualiti.

            Tugasan ini juga telah membawa saya untuk menghayati pentaksiran PBS yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran.Melaluinya, saya telah menghayati kepentingan PBS ini dan tidak menjadikannya sebagai satu bebanan yang perlu saya tanggung dalam tugas-tugas harian saya. Antaranya, PBS ini akan dapat mendidik saya menjadi seorang guru yang berintegriti. Segala proses perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan akan dapat saya nilai melaluinya.

            Tugasan ini telah banyak membantu saya dalam usaha menjadi seorang guru Bahasa Melayu yang berkualiti.Saya telah banyak mempelajari tentang kepentingan daripada program yang telah dicadangkan oleh pihak KPM.Oleh yang demikian, adalah penting untuk saya mengaplikasikan segala program yang dicadang oleh pihak kementerian.Segala program yang dirancang memberikan banyak panduan kepada saya untuk merancang sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada murid-murid saya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bibliografi

Buku:
Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh (2005), Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan untuk   Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Sekolah Rendah dan Menengah, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid et al. (2007). Murid Dan Alam Belajar. Selangor Darul Ehsan: Oxford  Fajar Sdn. Bhd.
Shahabuddin Hashim et al. (2007). Pedagogi: Strategi dan Teknik Mengajar Dengan     Berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing S.B.
Kamarudin Hj. Husin (1988). Pedagogi Bahasa. Selangor Darul Ehsan: Longman          Malaysia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (1996). Pedagogi 2 Perlaksanaan Pengajaran. Kuala Lumpur:    Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Internet:
Laman Web: http://en.wikipedia.org/wiki/Student-centred_learning. Diakses pada 17        September 2010.
Laman Web: http://www.aishe.org/readings/2005-1/.Diakses pada 23 September 2010.
Laman Web: http://www.sun-associates.com/lynn/pbl/pbl.html.Diakses pada 24     September 2010.
Laman Web: http://en.wikipedia.org/wiki/Student-centred_learning. Diakses pada 24        September 2010.
Laman Web: http://en.wikipedia.org/wiki/Activity-based_Learning. Diakses pada 24          September 2010.

Rujukan Lain:
Modul Bahasa Melayu BBM 3102: Pedagogi Bahasa Melayu Sekolah Rendah.    Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Siri Panduan Guru Kurikulum Baru Sekolah Rendah.Teknik Pengajaran Dan     Pembelajaran.Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.




0 comments:

Post a Comment